Thursday 20 October 2011

Mak,ayah!!Jangan paksa saya kahwin..

Binaan Penjara Ibubapa untuk Anak-anak Perempuan
 Mama sendiri tidak percaya setiap kali membaca berkaitan dengan perkahwinan yang dipaksa oleh ibubapa terutamanya pada usia yang muda.Namun demikian,itu lah yang harus dilalui oleh kebanyakan kanak-kanak perempuan di bawah umur yang telah dipaksa oleh ibubapa mereka untuk dijodohkan dengan pasangan mereka yang jauh lebih tua..
Kahwin paksa-bahagia atau sengsara?

Terdetik di hati mama untuk membantu kanak-kanak perempuan yang telah dipaksa oleh ibubapa mereka untuk berkahwin awal sedangkan pada usia mereka yang muda,mereka seharusnya bermain dengan rakan-rakan,berhibur dengan gaya dan cara remaja mereka tersendiri seperti remaja perempuan lain yang masih lagi berada di dalam kalangan keluarga sendiri.,namun apakan daya mama?Sekadar berkongsi keperitan mereka kepada korang semua agar menghayati kisah-kisah sedih dan keperitan mereka..Setelah meneliti banyak majalah dan artikel yang berkaitan dengan perkahwinan paksa di waktu remaja,mama boleh lihat banyak keperitan berbanding kebahagiaan yang dikecapi oleh mereka..
Kanak-kanak perempuan yang dipaksa kahwin dengan orang yang lebih tua dari mereka

Berikut ialah kes-kes mereka yang terlibat dalam perkahwinan mereka dikala usia yang sangat-sangat muda:
Seorang kanak-kanak perempuan sedang didukung oleh ayahnya untuk dikahwinkan

Kahwin lima hari, mati didera suami

ANTARA kes perkahwinan bawah umur yang menarik perhatian dunia membabitkan seorang gadis berusia 13 tahun di Yaman. Dia mati selepas kecederaan teruk pada kemaluan akibat didera suami. Satu kes di India pula menyaksikan budak perempuan lima tahun tertidur ketika dikahwinkan. Ikuti antara kes menarik membabitkan perkahwinan kanak-kanak yang pernah dilaporkan.

Yaman

Kes menimpa Ilham al-Ashi, 13, begitu meruntun hati. Pengantin muda ini mati pada April 2010 akibat penderaan seks oleh suaminya berusia 24 tahun. Ilham mati lima hari selepas berkahwin dengan Abed al-Hekmi. Laporan perubatan hospital di Hajja, Yaman menunjukkan mangsa mati akibat kecederaan teruk pada kemaluannya.

Dalam kes berasingan pada 2008, Salleh Nujood Ali menjadi perhatian dunia apabila dia yang berusia 10 tahun ketika itu melarikan diri dari rumah dan memfailkan perceraian di mahkamah. Nujood dipaksa bapanya berkahwin dengan seorang lelaki berusia 30-an.

Poster gadis sunti itu kemudian menjadi antara 10 paling popular di dunia, malah buku mengenainya bertajuk I Am Nujood, 10 Years and Divorced sudah diterjemahkan ke dalam 30 bahasa. Dia kini kembali ke pangkuan keluarga dan menyambung persekolahan.

Habsyah

"Saya mahu belajar, tapi ibu bapa nekad mengahwinkan saya," kata Himanot Yehewala, gadis Ethiopia yang berkahwin lima tahun lalu pada usia 13 tahun. Dia pernah cuba melarikan diri tetapi diugut ibunya yang memaklumkan akan membunuh diri jika anaknya enggan berkahwin.

“Saya masih tak matang dari segi fizikal atau emosi, tak bersedia untuk tidur dengan suami yang jauh lebih tua,” tambah Himanot yang dikahwinkan dengan Gedefaw Mengistu, 18, walaupun mereka langsung tidak pernah bertemu sebelum hari perkahwinan.

Gedefaw sedar isterinya terlalu muda, berkata: “Saya berada di Gred Lima (sekolah), tetapi bapa meninggal dunia dan saya terpaksa berhenti, kahwin dan jaga keluarga," katanya kepada BBC. Mereka tinggal di Amhara, Ethiopia - kawasan pertanian luar bandar yang miskin di mana separuh kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum usia 15 tahun.

India

Perkahwinan kanak-kanak menyalahi undang-undang di India, namun ia masih berlaku dan biasanya upacara perkahwinan dilangsungkan pada awal pagi atau dinihari secara rahsia. Malah, seluruh kampung menyimpan rahsia berkenaan.

Di Rajasthan, seorang kanak-kanak perempuan lima tahun dikenali sebagai Rajani dikahwinkan ibu bapanya sama seperti yang berlaku kepada adik beradik perempuannya yang lain. Rajani yang masih kecil tertidur sebelum majlis perkahwinan bermula.

Dia diangkat bapa saudaranya dari katil bayi untuk menjalani upacara perkahwinan di bawah cahaya bulan. Rajani dikahwinkan dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun. Mengikut adat, pengantin kanak-kanak itu akan terus tinggal dengan keluarga masing-masing sehingga dewasa, namun tiada jaminan adat itu dipatuhi.

INFO

Perkahwinan budak di seluruh dunia

  • Setiap tiga saat, seorang kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun dilaporkan dipaksa berkahwin, kebanyakannya di Afrika, Asia Barat dan Asia Selatan.
  • Menurut UNICEF, amalan perkahwinan awal ini menjejaskan satu pertiga kanak-kanak perempuan dan sekelompok kanak-kanak lelaki terutama di negara membangun. Ia menggambarkan perkahwinan kanak-kanak sebagai `satu bentuk paling lazim dalam penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak perempuan’.
  • Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak menyatakan 18 tahun umur minimum untuk berkahwin.
  • Aktivis merumuskan perkahwinan usia muda melanggar hak asasi kanak-kanak kerana mereka terlalu muda untuk memberi persetujuan secara bebas dan penuh. Ia termaktub dalam Perkara 16 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.
  • Di kebanyakan negara membangun, amalan ini salah di sisi undang-undang tetapi undang-undang itu sering tidak dikuatkuasakan kerana tuntutan adat dan agama masih kuat diamalkan.
  • Pengantin perempuan berusia bawah 15 tahun berisiko lima kali ganda mati ketika mengandung atau melahirkan anak berbanding wanita yang berkahwin pada usia 20-an.
  • Gadis bawah 18 tahun lebih cenderung mengalami masalah fistula obstetrik yang menyebabkan lemah kawalan kencing yang teruk, berlaku semasa bersalin apabila terbentuk satu lubang di antara faraj dan pundi kencing atau rektum.
  • Pengantin muda lebih cenderung dijangkiti HIV melalui suami lebih tua. Kajian di Kenya dan Zambia oleh penyelidik Universiti Chicago mendapati 75 peratus gadis 15 hingga 19 tahun dijangkiti HIV kerana berkahwin muda.
  • Pengantin perempuan lebih cenderung dipukul atau dirogol suami sendiri.
  • Bayi dilahirkan pengantin kanak-kanak, 60 peratus berisiko mati ketika dilahirkan kerana tidak cukup bulan.
  • Pengantin kanak-kanak jarang dibenarkan ke sekolah, terpaksa membesarkan anak dan menjalankan kerja domestik untuk keluarga.
  • Gadis dari keluarga miskin dua kali ganda mungkin dikahwinkan keluarga sebelum berusia 18 tahun berbanding kanak-kanak perempuan dari keluarga kaya.
  • Bilangan perkahwinan kanak-kanak meningkat semasa konflik atau bencana alam.
  • Sesetengah keluarga menggunakan perkahwinan untuk membina dan mengukuhkan pakatan, mengelak tawaran harta, menyelesaikan pertikaian atau membayar hutang.
Oleh sebab itu,kita sebagai insan yang berperikemanusiaan ini,sama-samalah membantu mereka dari segi DOA agar mereka yang telah dipaksa untuk berkahwin awal ini akan menemui cahaya kebahagiaan mereka..Sekian,bye!
Kanak-kanak perempuan ini hanya menunggu masa untuk dipaksa kahwin dengan orang yang lebih tua
Ssssssshhhhhhhh....Bersyukur sangat bila mempunyai keluarga yang sentiasa memahami isi hati mama..Ameen...Bye!

No comments:

Post a Comment